Pages

Monday, March 26, 2012

Cinta Manusia Layu tapi Cinta Allah semakin Mekar...

Cinta datang dan pergi. Cinta yg diharapkan dapat disemai hingga ke jinjang pelamin akhirnya layu juga. Kala itu, tersentakku dari lena yg panjang. Allah sedang menguji aku. Setelah sekian lama berkorban demi cinta nan satu, berusaha mempertahankan keutuhan cinta itu, akhirnya tersembam jua akhirnya.

Langkah kaki mula longlai, hati semakin hiba, air mata menemani kala malam menjelma, mencari-cari apa kesalahan diri sehingga di hukum sebegitu. Saat itu, terpikir Allah yang Esa. Ya, DIA yang menentukan segalanya. Saat dikau lupa dan leka, DIA mengetuk pintu hatimu, memberi kamu dugaan ini. Dugaan yg mampu kau tanggung duhai hati. Bukan yang melampaui apa yang kau mampu tanggung.

Bersyukurlah jika ini yang berlaku. Allah sayangkanmu. Kembalilah kepada Allah. DIA tak mahu kamu tersesat, leka dibuai cinta yang bertuhankan hawa nafsu. Cinta yang diredhai adalah cinta kerana Allah, pabila batas-batas pergaulan dijaga, maruah diri dipelihara, nafsu dapat dikekang drpd terjerumus ke arah jalan maksiat.

Jangan tangisi apa yang sudah berlaku. Sedar dan insaflah. Masih belum terlambat untuk bertaubat. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambaNYA yang berbuat kesalahan. Allah penuh dengan kasih sayang dan rahmat-NYA. Mohon diberi jiwa yg kuat dan tabah menghadapi dugaan ini. Menyesal atas perbuatan yg dilakukan dan berjanji tidak akan melakukannya.

InsyaAllah, DIA akan mengurniakan hidupmu dengan sesuatu yang lebih baik jika kita berubah kerana Allah dan sabar dan ikhlas dalam menempuh dugaan hidup yg mendatang.

Usah dikenang lagi cinta yg sudah pergi. Ternyata, dia bukan milikmu. Allah sedang merancang sesuatu yang baik untukmu. Pilihan Allah juga yang terbaik. Adakalanya kamu suka sesuatu, padahal ianya tidak baik bagimu, dan adakalanya kamu tidak suka akan sesuatu, padahal ia baik bagimu. Biar Allah menentukan segalanya. Berusaha, berdoa dan bertawakal, itulah yang sebaiknya. Jodoh, ajal, maut, pertemuan, semua Allah sudah aturkan sejak azali lagi. Yakinlah duhai hati.Allah menyayangimu.

Kepada si perobek hati, ingin sekali ku katakan, bahawa aku sangat-sangat bersyukur di atas perpisahan kita. Tidak mungkin cinta itu bersatu kembali. Aku tidak mahu taksub kerana cinta sampai aku tak mahu kehilanganmu. Semoga kau berbahagia.

Tuesday, March 20, 2012

Ceriakan Hari-harimu Dengan Senyuman

Kesulitan pasti ada mengekori kehidupan ini kerana hidup ini akan selalu teruji. Kita semua sama, berdepan dengan dugaan yang tersendiri, cuma yang membezakan kita ialah cara kita mendepani.

Ketika hati sudah tidak tertanggung derita dan bibir masih sempat mengukir tawa, alangkah indahnya. Dia sembunyikan segala rasa untuk dicurahkan kepada Allah satu-satunya. Kerana menampakkan kemuraman wajah di hadapan manusia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Mungkin kita akan memperoleh simpati tetapi selebihnya hanya Allah tahu jalan penyelesaiannya.

Ketika di timpa bencana,senyumlah kerana ujian adalah tanda kasih sayang Allah. Tidak Allah biarkan manusia yang disayangNya terlena dalam kenikmatan yang melupakan dia untuk mengingatiNya. Lalu di kirim sedikit ujian supaya manusia itu tersedar dari lena dan kembali padaNya.

Memang benar, cuba bandingkan manusia yang dalam kegembiraan dan manusia yang dalam kesakitan/kesedihan, berapa lama waktu mereka sempat habiskan di atas tikar sejadah? Kebanyakan manusia terlalu mudah lupa, dan hanya tersentak apabila Allah mengetuk mereka dengan kegundahan dan masalah.

Tersenyumlah dengan setiap permasalah kerana masalah adalah jalan untuk kita kembali dalam istikharah dan memohon petunjukNya. Allah sesekali tidak zalim, sentiasa memberikan peringatan untuk hambaNya. Kehidupan adalah tidak bermakna sedikitpun tanpa mengingatiNya. Kita bernyawa, berdiri, bersuara dan segalanya adalah dengan izinNya. Bersyukurlah.

Tersenyum dan bersyukurlah, maka kau tidak akan pernah berasa untuk menuturkan “jikalaulah aku dulu…….”, sedar atau tidak bahawasanya kehidupan ini telah berjalan seiring kehendakNya. Jika kita berkeluh kesah menyaksikan ujian demi ujian yang sedang merapat, kita akan mudah tersungkur dan meratap.

Kerana kita tidak pernah redha dengan apa yang Allah tetapkan sebagai jalan kehidupan yang perlu kita redah. Maka bersabar dan berserahlah hidup matimu dan suka dukamu hanya pada Dia yang maha mengetahui.

Tersenyumlah kerana kita masih bernyawa dan di beri kesempatan untuk meneruskan perjuangan di jalanNya. Kita masih ada waktu untuk menyelesaikan segala hutang dan pinjaman yang telah kita lakukan. Kita masih ada masa untuk bertaubat di setiap kesilapan.

Kita masih mampu bersyukur dengan setiap pemberian. Bandingkan kita dengan mereka yang telah terbaring kaku jasadnya di tanah, mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Apakah kita masih tidak mengambil iktibar? Kita masih boleh lagi menambah amalan dan ketaqwaan kepada Allah dan menyempurnakan bekalan kita di alam sana. Tatkala roh dipanggil dan diangkat pergi, menyesal ketika itu sudah tidak bererti!

Dan paling penting, anda terlalu bertuah maka tersenyumlah kerana kita terpilih sebagai seorang MUSLIM. Kita ada Allah yang sentiasa bersama di setiap langkah kita. Di setiap hari, kita kan berjumpaNya dalam solat. Allah izinkan kita meminta padaNya setiap apa yang kita perlu.

Allah damaikan hati kita yang keresahan apabila kita bersamaNya. Allah maha mengampunkan segala dosa yang telah kita perbuat apabila kita bertaubat. Allah menjanjikan kita nikmat-nikmat yang tidak terhitung apabila kita bertaqwa. Allah sediakan ganjaran bagi mereka yang sabar. Allah mengaturkan kehidupan kita dengan sempurna dan segala yang ditetapkan adalah untuk kebaikan hambaNya. Ya Allah, terlalu beruntungnya kami.

Abu Darda’ Radhiyallahu ‘anhu berkata , “ Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku.”

Tersenyumlah sentiasa, ia tidak menyakitkan malah ia pengubat hati yang sakit. Bukannya bererti senyum itu kerana dia tidak punya masalah dalam kehidupannya, tetapi menunjukkan hatinya reda dengan setiap takdirnya.

Tuesday, March 13, 2012

Tabah!!

Kalau ikutkan kisah cinta aku ini, hanyalah secebis kesakitan pada orang lain. Jika hendak dibandingkan dengan kisah percintaan orang lain. Ada orang lain yang lebih teruk dipermainkan, lebih teruk diperbodohkan, lebih teruk merasai kepahitan itu.

Tapi sungguh, sejauh mana aku berada, kesakitan itu tak pernah hilang. Masih terkilan rasa hati apabila mengingati peristiwa itu. Ditinggalkan ketika hati masih sayang..

Ada orang bertanya kepada aku. ‘aku tengok kau ni kejap je sedih, biasa je, kalau aku, meroyan kot, bercinta dah lama, lepas tu kena tinggal. Ke kau memang tak sayang dia?’

Pertanyaan lagi ‘ aku pelik kau boleh jadi tabah, dalam masa yang singkat. Serius singkat. Orang lain sedih berbulan-bulan, ada yang bertahun-tahun, kau pulak seminggu je dah okay. Ada udang di sebalik mee ke?’

Siapa cakap aku tak sedih? Siapa cakap aku tak rebah? Tiada sesiapa tahu betapa teruknya keadaan aku pada masa itu kecuali Allah dan Seorang Hamba Allah (https://www.facebook.com/arezeearzmi.)

Dan dari mana datangnya ketabahan dalam masa seminggu? Semua orang bertanyakan soalan yang sama.

Jawapan aku mudah. Bertaubat. Kembali padaNya.

Itu yang aku lakukan. Aku tidak pernah lupa untuk berdoa. Aku menangis mengingati dosa-dosa silamku. Aku serahkan sepenuhnya jiwa ragaku pada Maha Pencipta.

Kuasa Allah hebat. Manusia yang tidak tahu dan kurang tahu. Aku kembali mendapat ketenangan pada hari ketiga selepas peristiwa itu. Tidur malam ku kembali tenang. Fikiran ku tidak lagi melayang-layang. Sakit hati aku hilang sedikit demi sedikit.

Jangan lupa amalkan ini. Amalan yang boleh membuatkan sesiapa menjadi tabah walau dalam masa yang singkat.

1) Memaafkan seseorang.
2) Bermuhasabah diri
3) Berprasangka baik
4) Berserah segalanya pada yang Maha Esa.

Jangan terburu-buru mengejar cinta. Berhenti seketika. Toleh ke belakang, mungkin ada yang sedang mengejar anda, siapa tahu?

Kadang-kadang orang yang kita sayang, 9 atau 10 tahun pun, kalau sememangnya bukan jodoh kita, sekuat mana pun kita pertahankan, sedaya mana pun kita usaha, kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Percaya pada ketentuan Allah.Percaya pada hukum Allah. Insyallah, Allah tidak akan menguji hambanya jika Dia tahu kita tidak mampu menghadapinya. Anggap la ini ujian dari Allah.

Ia benar. Aku telah mengamalkan semua ini dan masih mengamalkan. Alhamdulillah, aku tak pernah rasa tenang sebegini. Jika anda betul-betul bertaubat kepada Allah dengan seikhlas hati, anda pasti takot dan akan menangis teresak-esak mengenangkan dosa-dosa silam dan maksiat yang pernah anda lakukan.

Bangkitlah wahai wanita. Jangan sesekali tunjuk di depan semua orang kita lemah. Jika hari ini Allah tak temukan kita dengan orang yang kita damba, Insyallah, Allah akan temukan kita dengan orang yang mendambakan kita. Jika hari ini Allah tak temukan kita dengan orang yang kita sayang, Insyallah moga Allah temukan kita dengan orang yang sayangkan kita. Semuanya kuasa Allah. Percayalah..

Monday, March 12, 2012

Terus Melangkah...

Kerana aku di sapa ujian. Aku belajar mengenal kehidupan. Bahawasanya hidup bukan sahaja berteman suka dan bahagia. Tetapi di corak hampa dan air mata. Maka, aku mengenal erti sabar dan belajar tersenyum walaupun perit terus menerus menagih hiba.

Ketika kehendakku tidak bisa di genggam. Aku belajar menjadi insan matang. Mensyukuri segala yang ditakdirkan. Bukan merungut mencipta sesalan. Kerana ku tahu bahawa segalanya tidak semudah apa yang ada dibayanganku. Dunia hanya persinggahan yang sering menagih pengorbanan.

Ku sedari aku bukanlah sempurna. Aku belajar menjadi diri aku apa adanya. Tidakku cemburu menatap kelebihannya dia. Kerana ku yakini bahawa. Allah itu menjadikan kita tidak sama. Dan kita sememangnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak serupa.

Kegagalan semalam telah menghancurkan impian. Namun kerana kegagalan itulah aku mengikat suatu kesimpulan. Bahawa tidak semua yang kita kehendakkan, akan berjaya berada di tangan. Kegagalan itulah yang menjadi guru memberi pengajaran.

Menyedarkan aku bahawa walaupun kita merancang, Jangan pernah lupa bahawa Allah juga merancang. Dan perancangan Allah sememangnya jauh lebih hebat dan penuh hikmah kebaikan di setiap kejadian.

Kehilangan yang terjadi sememangnya menebuk lubang terdalam dihatiku. Namun kerana kehilangan itu aku belajar sesuatu. Bahawa setiap yang datang akan berlalu. Tiada apa yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang satu. Lalu ku isikan pecahan-pecahan yang telah terjadi di hatiku. Dengan cintanya Dia yang mengukuhkan kembali hatiku yang layu.

Dunia telah mengajarkan aku memilih untuk selalu berasa kecewa dan terluka, namun hanya dengan mengingati Allah sahajalah aku kembali menyedari dan redha. Bahawa segalanya adalah ketentuanNya dan akhirnya akan belajar dari segenap peristiwa.

Patah Hati/hati bengkak!

Emm… patah hati !!

Jika mendengar perkataan ini pasti yang terlintas dibenak fikiran kita dan semua orang adalah tentang cinta yang terkandas, tentang cinta yang putus sampai disini saja, tentang perpisahan, tentang airmata yang berlinang, tentang sakitnya hati, dan semua yang menyebabkan dunia terasa mengalami kiamat. “Lebih baik sakit gigi daripada sakit hati”

Hati sanubari kita kadang-kadang pening mencari jawapan kenapakah cinta yang putus itu diberi nama “patah hati”. Tiada istilah lain yang lebih sedap ke? Tapi yang penting adalah bagaimana ketika cinta itu terkandas, ketika cinta itu tak lagi tersambung, ketika cinta itu tidak lagi mahu menjadi milik kita, dan ketika si dia tak mahu lagi menjadi tempat luahan hati kita

Patah hati sinonim dengan airmata, kenapa ya?

Tetapi kita lupa bahawa patah hati itu juga sinonim dengan hikmah:

- Seharusnya kita bersyukur masih diberi rasa patah ini oleh ALLAH, masih boleh menangis, itu ertinya kita masih ada hati kan? bukan hanya sekadar hati,tapi hati yang sensitif yang lembut dan yang mampu bahagia dan luka. Dan airmata yang mengalir ini dapat membersihkan kelopak mata kita yang kusam menjadi jernih kembali kerana airmata yang berlinang membawa semua kotoran dimata. Menagislah kerana mencintai ALLAH pada saat kita bersendiri. Airmata ini lebih bernilai pahala daripada menangisi si dia, orang yang ditangisi pun tak tahu kita nangis kerananya

Fabiayyi allaihi Robby kumma tukadziban

Maka nikmat yang mana lagikah yang sanggup kita dustakan? bahkan didalam air yang berlinang melalui mata ini, ALLAH memberikan kasih sayangnya.

Mungkinkah ada lagi nikmat ALLAH di balik kata patah hati ini? cuba bayangkan, pada saat jatuh cinta semalam mendengar suara si dia di telefon lebih indah ditelinga kita dari suara azan, sms mesra dari sang pujaan hati lebih sering kita baca berulang ulang agar lebih memahami ertinya dan lebih bergetar mencintainya, tetapi seberapa kali kita membaca surat cinta dari ALLAH yang terbentang di dalam AlQuran?

Dan kini setelah tak ada lagi sms darinya, tak ada lagi suara manjanya, mungkin hikmah disebalik hati yang teriris berdarah darah ini adalah ALLAH hendak mengembalikan kita kepada cintanya ALLAH, apa ada cinta yang lebih indah dari cinta sang pemilik nafas ini?

Maka nikmat ALLAH yang mana lagikah yang sanggup kita dustakan? disebalik patah hati ini ALLAH menyelamatkan kita dari cinta yang salah. Kita menyembah dan memuja cinta melebihi menyembah dan memuji ALLAH. Nauzubillahimindzalik. Cinta tak salah, tetapi mungkin hanya tidak tepat ketika kita lebih mencintai sang pujaan hati daripada mencintai ALLAH.

”Hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang”

Ingatlah bahawa ALLAH maha membolak balikan hati dan keadaan. Jika hari ini ALLAH masih mengirimkan cinta maka janganlah menjadikan cinta itu berhala dengan memujanya seolah- olah dunia ini milik berdua, jumlah sms jadi lebih banyak dari jumlah rakaat solat, jumlah bil henpon jadi lebih banyak dari RM yang kita sedekahkan, duduk berdua-duaan ditempat sunyi lebih disukai daripada duduk tafakur diatas sajadah dan bermesraan dengan ALLAH.

Dan jika ALLAH membolak balikan hati kita dan si dia dari cinta, maka gantilah kata patah hati itu dengan perkataan syukur hati kerana ALLAH lebih mencintai kita dari pada si dia, terbukti ALLAH mengambil kita untuk dikembalikan kedalam nikmat, limpahan kasih sayang dari kekasih hati yang baru dan selamanya iaitu ALLAH. Siapa yang tak mahu jadi kekasih ALLAH? tenang, damai, indah, cukup rasanya hidup ini !

SUrat TerAkhIr

Assalamualaikum..

Kehadapan sang mantan yang berada di mana jua, moga kehidupanmu diredhai Allah. Aku masih di sini. Seperti biasa. Melewati masa-masa kehidupan dengan hati yang penuh tabah

Pertama kali, aku ucapkan terima kasih kepadamu kerana kau telah meninggalkan aku. Terima kasih. Kau telah menyedarkan aku tentang dosa-dosa silamku. Kau telah mengingatkan aku betapa dosanya kita dulu, dipenuhi maksiat malah meninggalkan perintah Allah.

Sang Mantan,

Pada mulanya, aku menyesal dengan keputusanmu. Meninggalkan aku ketika hati masih sayang. Sungguh aku menyesal. Tapi cuba kita berfikir sejenak, selama kita bercinta, apa perintah Allah yang telah kita kerjakan bersama? Yang wajib? Tidak ada. Yang sunat, lagilah tiada.

Pernah tak setiap kali kita keluar bersama, kita berhenti di mana-mana surau berdekatan untuk mengerjakan solat? Pernah tak? Pernah tak kita mengelak dari berpegangan tangan di khalayak ramai walaupun pada bulan Ramadhan? Pernah tak?

Pernah tak kita berasa malu, ketika kau memegang pinggang dan bahu ku ketika bersiar-siar di shopping complex? Pernah tak kita berasa malu memasuki pusat karaoke berdua? Pernah tak?

Semua tu terjah di fikiranku selepas kau membuat keputusan meninggalkan aku. Pada mulanya, aku nekad untuk kembali meraih cintamu. Aku cuba. Aku usaha. Tapi untuk apa? Jika kita bersama kembali, mungkinkah terjamin kita tidak akan melakukan perkara yang sama seperti dahulu?

Sang Mantan,

Aku tidak menyalahkan kamu sepenuhnya. Aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempunyai iman yang kuat, tidak mengalih pandangan terhadap kaum Adam, tidak menolak lamaran cintamu dulu. Aku lupa betapa tingginya darjah seorang wanita. Aku lupa betapa tingginya malu yang perlu ada dalam diri seorang wanita. Aku leka. Aku lalai.

 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Seorang pujangga mengatakan, “hidupnya wajah berkat malu, sebagaimana tanaman berkat air”

Sang Mantan,

Betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan sepanjang kita bersama. Dosa yang ada sebelum kita bercinta pun susah hendak ku tanggung, ditambah dosa selepas aku mengenal erti cinta. Terlalu banyak, tidak mampu untuk dikira. Ya Allah..

Kau masih tidak sedar akan semuanya itu. Kau sedang leka bersama cinta hatimu. Aku bersyukur seandainya pilihan barumu tidak seperti aku, aku bersyukur.Semoga dia membimbingmu ke jalan yang benar. Aku berdoa.

Cinta tidak buta seperti yang diperkatakan orang lain. Cinta yang menyebabkan kita buta. Kita yang buta selepas tenggelam di dasar lautan cinta yang paling dalam. Kita. Bukan salah mereka.

Oleh itu sang Mantan..

Bertaubatlah. Kembali pada Allah. Masih belum terlambat sebenarnya. Sedarlah akan dosa-dosa silammu sementara jantungmu masih berdegup, sementara nafasmu belum terhenti. Kembalilah bersama Allah. Jangan sesekali leka sekali lagi dengan dunia cinta. Jika kamu terlalu menyayangi cinta barumu itu, bimbinglah dia bersama-sama untuk kembali menjalankan perintah Allah. Lamarlah dia sebagai isterimu. Jangan berikan harapan palsu sebagaimana kau pernah berikan padaku dulu. Jadikan dia sebagai yang halal untukmu. Aku berdoa.

Untuk menerimamu kembali, untuk mencari pengganti dirimu buat masa kini, aku rasakan tidak. Aku tidak mahu leka mengejar cinta. Aku takut pada balasan Allah. Aku takut jika aku lalai mengerjakan perintah Allah seperti dahulu. Aku takut aku akan mencintai lelaki itu lebih dari aku mencintai Allah.

Aku takut sangat-sangat. Ketakutan ini aku tidak pernah rasa pada suatu masa dulu.

Walaupun kamu pernah menyakiti hatiku, pernah membuangku dalam hidupmu, pernah menghancurkan impian-impian bersama, aku tidak pernah lupa untuk mendoakanmu. Aku berdoa agar Allah bukakan pintu hati kau untuk bertaubat dan kembali mengerjakan perintah Allah. Sungguh, tiada dendam sekelumit di hati ini. Cuma aku tidak mahu, orang yang aku pernah sayang, pernah bertakhta di hatiku, menyerahkan dirinya di lembah neraka.